Varian Omicron: Tindakan negara laksana sekatan perjalanan tidak adil - WHO

Astro Awani
November 30, 2021 06:42 MYT
Dr Tedros berkata, sekatan perjalanan tidak akan menghalang penyebaran antarabangsa varian, sebaliknya ia akan membebankan kehidupan dan punca pendapatan penduduk. - Gambar fail REUTERS
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan atas tindakan sesetengah negara memperkenalkan pendekatan bersasar bagi menangani varian Omicron dengan melaksanakan sekatan perjalanan.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Selasa menyifatkan tindakan itu umpama menghukum negara-negara selatan Afrika yang melaporkan kemunculan varian berkenaan.
Katanya, tindakan sedemikian bukan berasaskan saintifik dan belum terbukti berkesan, lantas beliau mendesak negara terlibat mengambil tindakan rasional melalui pendekatan mengurangkan risiko.
Jelasnya, masih banyak yang tidak diketahui mengenai varian Omicron, termasuk tahap jangkitan, keberkesanan ujian, terapi dan vaksin.
BACA: Varian Omicron: Penutupan baharu tidak mungkin dilaksanakan - Boris Johnson
Penemuan varian Omicron di selatan Afrika kali pertama dilaporkan kepada WHO minggu lalu. Ia kemudian merebak ke beberapa negara.
Saintis di Afrika Selatan memaklumkan mengesan varian baharu dengan 10 mutasi, dan memberi amaran ia berisiko merebak dengan pantas.
Susulan itu beberapa negara mengumumkan sekatan perjalanan ke atas negara dari selatan Afrika yang disifatkan WHO sebagai tidak adil.
BACA: Varian Omicron: Saintis di Afrika Selatan siap sedia hadapi lonjakan kes
Ketika sesi negara anggota mengenai varian Omicron di Geneva, Dr Tedros berkata, sekatan perjalanan tidak akan menghalang penyebaran antarabangsa varian
Sebaliknya, ia hanya akan membebankan kehidupan dan punca pendapatan penduduk dan menghalang negara-negara daripada melaporkan dan berkongsi data.
Dr Tedros juga membangkitkan isu ketidakadilan vaksin yang menyebabkan masih ada negara kurang berkemampuan tidak memperoleh vaksin.
Pakar kesihatan sebelum ini memberi amaran, kegagalan mengawal wabak meningkatkan risiko kemunculan varian baru yang bermutasi.
#Afrika Selatan #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Omicron #Tedros Adhanom Ghebreyesus
;