Varian Omicron: Tiada sambutan Krismas, petugas kesihatan komited rawat pesakit

Astro Awani
Disember 25, 2021 05:15 MYT
Petugas kesihtan menikmati hidangan sempena sambutan Krismas sambil memperhatikan pesakit di wad ICU COVID-19 di sebuah hospital di Marseille. - Foto AP
MARSEILLE: Salah sebuah hospital terbesar di Perancis mungkin tidak lagi dapat menampung kemasukan pesakit baharu akibat COVID-19, sekali gus menimbulkan kerisauan orang ramai.
Tiada apa lagi yang terdaya dilakukan oleh Ketua Unit COVID-19 Hospital Marseille, Dr Julien Carvelli, selain memberikan semangat kepada kakitangannya untuk terus berjuang merawat pesakit meskipun pada sambutan hari Krismas.
"Kami semua sudah letih. Kami turut merasakan gelombang keletihan, seperti gelombang wabak COVID-19. Kami muak dengan ini.
"Kami sentiasa memberi tumpuan untuk melakukan kerja kami dengan cara yang terbaik tetapi semakin banyak bebanan yang kami perlu hadap, semakin ramai orang yang letih tetapi selain keletihan, ramai kakitangan yang telah berhenti kerja dan itu menjadikan tugas kami lebih sukar," katanya.
Bagi mengekalkan semangat dan suasana, hiasan pokok Krismas memenuhi ruangan koridor hospital.
Selain mengakui keletihan yang dirasai, kakitangan hospital terus berkhidmat dengan memberi rawatan terhadap pesakit yang memenuhi ruangan ICU.
Meskipun kira-kira 90 peratus orang dewasa telah diberi vaksin penuh, kebanyakan pesakit yang berada di ICU hospital itu masih belum mendapat suntikan vaksin.
Situasi yang sama berlaku di sekitar Perancis ketika kes jangkitan harian terus meningkat, ditambah pula dengan ancaman Omicron.
#COVID-19 #Hospital #Omicron #vaksin
;