Varian Omicron: Negara Afrika tidak harus dihukum kerana kongsi data - PBB
Astro Awani
November 30, 2021 08:17 MYT
November 30, 2021 08:17 MYT
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, rakyat Afrika tidak seharusnya 'dihukum' dengan larangan perjalanan kerana berkongsi maklumat penting tentang varian COVID-19 Omicron.
Guterres berpandangan rakyat Afrika tidak boleh dipersalahkan disebabkan tahap vaksinasi yang sangat rendah di benua tersebut.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric memaklumkan masih banyak lagi kajian perlu dilakukan mengenai kebolehjangkitan, keadaan pesakit dan isu vaksin.
"Kita harus berpandukan sains. Bagi pihak kami, kami dibimbing oleh rakan pakar kami di WHO. Dan saya rasa jika anda melihat apa yang mereka katakan masih banyak kajian yang perlu dilakukan mengenai kebolehjangkitan, keadaan penyakit dan isu vaksin.
"Apa yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung adalah kami berpendapat terdapat lebih banyak penyelesaian berasaskan sains: peningkatan ujian dan walaupun individu terbabit perlu menjalani kuarantin.
"Tetapi sekatan-sekatan tertentu terhadap rakyat secara keseluruhan, kami rasa adalah satu bentuk hukuman kolektif," katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika negara-negara di seluruh dunia menutup sempadan mereka kepada pengembara dari negara-negara selatan Afrika.
Ini sebagai langkah mengekang varian baharu itu selepas beberapa hari ia dikesan oleh penyelidik Afrika Selatan.
Guterres sebaliknya menggesa pihak berkuasa untuk mempertimbangkan ujian berulang untuk pelancong, bersama-sama langkah lain yang sesuai dan benar-benar berkesan sebagai alternatif.
Sekatan terhadap warganegara tertentu kata Guterres adalah satu bentuk hukuman kolektif.