Varian Omicron: Australia 'tidak akan kembali kenakan sekatan pergerakan' - Scott Morrison

Bernama
November 30, 2021 17:59 MYT
Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata sekatan pergerakan tidak akan dikenakan ke atas negara ini di tengah-tengah perkembangan terkini mengenai varian baharu COVID-19 dikenali Omicron. - Gambar fail/REUTERS
CANBERRA: Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata sekatan pergerakan tidak akan dikenakan ke atas negara ini di tengah-tengah perkembangan terkini mengenai varian baharu COVID-19 dikenali Omicron, lapor Xinhua.
Morrison pada Selasa petang mengadakan mesyuarat dengan pemimpin negeri dan wilayah untuk membincangkan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil susulan perkembangan terbaharu itu.
Sebelum mesyuarat itu, Morrison berkata kerajaan persekutuan, negeri dan wilayah sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati tetapi menolak bahawa sekatan pergerakan akan dikenakan semula.
Beliau berkata sempadan domestik dijangka akan tetap dibuka menjelang perayaan Krismas.
"Kami tidak akan kembali kepada sekatan pergerakan. Tiada seorang pun daripada kami mahukan itu," katanya kepada pemberita di Canberra pada Selasa.
Terdahulu pada Selasa, Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata kerajaan persekutuan berpendapat varian Omicron "boleh dikendalikan".
Sehingga Selasa, enam kes varian baharu telah dikesan di Australia.
Pada Selasa pagi Australia melaporkan lebih 1,100 kes baharu COVID-19 dan sembilan kematian ketika negara itu berusaha memerangi gelombang ketiga jangkitan.
Majoriti kes baharu dilaporkan di Victoria, negeri kedua paling ramai penduduk.
Menurut Jabatan Kesihatan, sehingga Isnin sebanyak 92.4 peratus rakyat Australia berumur 16 tahun ke atas sudah mendapat satu dos vaksin COVID-19 manakala 87 peratus menerima dos kedua.
-- BERNAMA
#Australia #sekatan pergerakan #varian baharu #varian omicron #COVID-19 #Scott Morrison
;