Varian Delta: New Zealand laksana perintah berkurung selama tiga hari
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 18, 2021 20:25 MYT
Ogos 18, 2021 20:25 MYT
Auckland: Kes jangkitan COVID-19 di New Zealand meningkat kepada tujuh kes selepas enam bulan negara itu tidak merekodkan sebarang kes.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern memaklumkan, peningkatan kes memaksa kerajaan melaksanakan perintah berkurung sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari di seluruh negara dan tujuh hari di Auckland dan Coromandel.
Katanya, kes dijangka terus bertambah dalam beberapa hari mendatang susulan mereka yang dijangkiti ada melawat gereja, sekolah, kasino dan hospital.
“Bermula 11:59 malam ini (Selasa) pemakaian pelitup muka adalah mandatori kepada semua yang berusia 12 tahun ke atas ketika melawat mana-mana sektor perkhidmatan perlu termasuk pasar raya, farmasi dan stesen minyak. Peraturan ini turut terpakai kepada semua pekerja di sektor berkenaan.
"Ini bagi memastikan perlindungan kepada para pekerja juga kepada mereka yang melawat sektor berkenaan,” ujarnya dalam satu sidang media khas.
Ardern berkata, strategi negara itu adalah untuk menghapuskan virus tersebut dan bukan hanya membendung penularannya.
"Ya, varian Delta menimbulkan ancaman lebih besar, tetapi langkah sama kita pernah gunakan sebelum ini akan berhasil sekali lagi jika kita mengikut peraturan," katanya.
Penularan wabak terbaharu ini tidak mempunyai kaitan jelas dengan rentas sempadan dan siasatan untuk menentukan asal usulnya sedang dijalankan.
Negara itu hanya mencatatkan 26 kematian akibat pandemik itu daripada lima juta populasi di negara itu sejak ia menular tahun lalu.
#COVID-19
#jangkitan
#New Zealand
#pandemik
#pelitup muka
#Perdana Menteri
#perintah berkurung
#perkhidmatan perlu