Varian COVID-19: Pelancong dari 6 negara perlu jalani kuarantin di UK
Astro Awani
November 25, 2021 07:58 MYT
November 25, 2021 07:58 MYT
LONDON: Pelancong yang tiba di United Kingdom dari beberapa negara Afrika akan dikenakan kuarantin susulan penemuan varian baharu COVID-19.
Menurut Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid, bermula Jumaat, enam negara akan ditambah dalam senarai amaran merah dengan penerbangan dilarang buat sementara waktu.
Semua penerbangan dari Afrika Selatan, Namibia, Zimbabwe, Bostwana, Lesotho dan Eswatini digantung buat sementara.
Jelas Javid juga, kesemua individu yang tiba pada Jumaat akan diminta kuarantin di rumah namun bagi individu yang tiba ke negara itu selepas jam 4 pagi pada Ahad akan perlu dikuarantin di hotel.
Mereka yang telah kembali dalam 10 hari terakhir diminta untuk mengambil ujian PCR.
Seorang pakar menyifatkan varian yang dikenali sebagai B.1.1.529, adalah antara yang bahaya setakat ini dan terdapat kebimbangan untuk menular dalam komuniti.
Namun tiada kes disahkan di UK.
Terdapat 59 kes yang disahkan dikenalpasti di Afrika Selatan, Hong Kong dan Bostwana setakat ini.
Terdapat keperluan untuk mempelajari mengenai varian baharu itu yang bermutasi.