Varian baharu B.1.1.529 dikesan, mutasi lebih tinggi daripada Beta, membawa maut

Agensi
November 26, 2021 17:12 MYT
Setakat ini, terdapat 77 kes direkodkan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan, empat di Botswana dan satu di Hong Kong membabitkan pengembara Afrika Selatan. - Gambar fail
AFRIKA SELATAN: Satu varian baharu COVID-19 dikenali sebagai B.1.1.529 dikesan di Afrika Selatan yang disifatkan mempunyai bilangan mutasi tinggi dan membawa maut, sekali gus berpotensi untuk disebarluaskan dalam komuniti.
Pengarah Pusat Tidak Balas dan Inovasi Epidemik Afrika Selatan, Prof Tulio de Oliveira berkata, bilangan kes harian negara itu dilaporkan meningkat sepuluh kali ganda sejak awal bulan ini.
“Terdapat ‘sekumpulan mutasi luar biasa’ dan ‘sangat berbeza’ berbanding varian yang sedia ada.
“"Varian ini mengejutkan kami, ia umpama suatu evolusi baharu dan kami menjangkakan lebih banyak mutasi akan muncul,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.
Dalam pada itu, kata de Oliveira, varian baharu itu mempunyai sekurang-kurangnya 10 mutasi berbanding varian Delta yang mempunyai dua mutasi dan Beta (tiga).
Katanya, varian itu akan diberikan nama baharu dalam bahasa Yunani oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Ia juga memiliki protein yang berbeza dengan varian sebelumnya dengan 50 mutasi secara keseluruhan, lebih 30 spike protein, yang menjadi sasaran kebanyakan vaksin dan punca utama virus memasuki ke dalam tubuh.
“Tetapi kebimbangannya ialah virus ini berbeza dengan virus asal yang muncul di Wuhan, China.
“Ini bermakna vaksin, yang direka menggunakan strain asal, mungkin tidak begitu berkesan,” katanya.
Menteri Kesihatan Afrika Selatan, Joe Phaahla berkata, varian itu mewujudkan kebimbangan serius dan dikesan menjadi penyebab di sebalik peningkatan kes yang dilaporkan, sekali gus berupaya menjadi ancaman besar.
Sementara itu, pensyarah Universiti KwaZulu-Natal, Prof Richard Lessells pula berpendapat varian tersebut mungkin meningkatkan kebolehjangkitan, keupayaan merebak antara satu sama lain dan memasuki sistem imun.
Bagaimanapun, kecepatan varian baharu ini merebak berbanding Delta masih tidak diketahui dan setakat mana ia mampu disekat memasuki perlindungan imun hasil daripada vaksin, serta menimbulkan pelbagai tanda tanya untuk terus berhati-hati.
Setakat ini, terdapat 77 kes direkodkan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan, empat di Botswana dan satu di Hong Kong membabitkan pengembara Afrika Selatan.
#COVID-19 #varian baharu #B 1 1 529 #Afrika Selatan
;