Vanuatu siap sedia hadapi Taufan Lola
Bernama
Oktober 24, 2023 22:08 MYT
Oktober 24, 2023 22:08 MYT
BANGKOK: Vanuatu, negara kepulauan di selatan Lautan Pasifik dijangka dibadai taufan Lola dalam tempoh 24 jam akan datang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jabatan Meteorologi dan Geo Hazard (VMGD) pada Selasa berkata ribut tropika diramal membadai pulau-pulau Toba, Sanma, Penama, Malampa dan Shefa, kesemuanya di bahagian utara pulau utama Efate.
Air Vanuatu telah membatalkan kesemua penerbangan dan kapal diarahkan kembali berlabuh di pelabuhan ekoran kebimbangan kemungkinan berlaku kejadian ribut seperti 'tsunami', menurut laporan Radio New Zealand.
Amaran merah dikeluarkan untuk kawasan yang terjejas dan sebilangan penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sebagai langkah berjaga-jaga.
VMGD juga menjangkakan hujan lebat boleh mencetuskan banjir kilat, terutama di kawasan berhampiran pantai, selain laut bergelora dan ombak kuat.
Vanuatu yang mempunyai kira-kira 80 pulau dilanda taufan antara November dan April setiap tahun.
-- BERNAMA