Vance, Walz setuju debat Naib Presiden AS pada 1 Okt

Bernama
Ogos 16, 2024 09:50 MYT
JD Vance (kiri) dan Tim Walz bersetuju untuk menyertai debat yang dianjurkan oleh CBS News pada 1 Oktober di New York City.
WASHINGTON: Calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, JD Vance dan pesaingnya dari Parti Demokrat, Tim Walz bersetuju untuk menyertai debat yang dianjurkan oleh CBS News pada 1 Oktober di New York City, lapor Agensi Anadolu.
"Rakyat Amerika berhak mendapat seberapa banyak debat yang mungkin, sebab itu (bekas) Presiden (Donald) Trump telah mencabar (Naib Presiden AS) Kamala (Harris) untuk tiga debat setakat ini.
"Bukan sahaja saya menerima jemputan debat CBS pada 1 Okt, tetapi saya juga menerima debat CNN pada 18 Sept," tulis senator dari negeri Ohio itu di X, sehari selepas Walz menerima tawaran debat.
"Jumpa anda pada 1 Okt, JD," menurut catatan Gabenor Minnesota itu pada Rabu di X.
CBS mendedahkan bahawa debat itu akan dikendalikan oleh Norah O'Donnell, penyampai berita dan ketua editor "CBS Evening News," bersama Margaret Brennan, moderator "Face the Nation" dan ketua koresponden hal ehwal luar negara untuk CBS News.
Rangkaian itu mencadangkan empat tarikh untuk debat iaitu 17 Sept, 24 Sept, 1 Okt dan 8 Okt.
Pasukan Harris-Walz bersetuju untuk tarikh 1 Okt.
-- BERNAMA
#Debat Naib Presiden #Kamala Harris #Amerika Syarikat #JD Vance
;