Vaksinasi, kerjasama rakyat dan kerajaan kunci kejayaan UK kawal penularan COVID-19
Madiha Abdullah
Jun 4, 2021 09:00 MYT
Jun 4, 2021 09:00 MYT
KERJASAMA di antara kerajaan dan rakyat menjadi kunci kejayaan sesebuah negara mengawal penularan COVID-19.
Kerajaan perlu tegas dan sistematik dalam melaksanakan panduan dan prosedur kawalan, manakala rakyat pula perlu bersabar dalam mematuhi setiap peraturan yang dikenakan.
Pandangan itu dikongsi dua rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) yang menjadi saksi bagaimana negara dengan populasi kira-kira 67 juta itu kini semakin berjaya mengawal situasi pandemik.
"Pertama kita memerlukan kesedaran rakyat yang vaksin akan membantu memberikan imuniti kelompok.
"Kedua, kena pastikan semua maklumat sampai kepada rakyat.
"Di UK, ada satu platform khusus untuk memberi makluman kepada rakyat semua perkara berkaitan COVID-19, dari vaksinasi sehingga pelan lockdown.
"Apabila maklumat sudah sampai secara menyeluruh, rakyat tak boleh lagi beri alasan.
"Di kawasan saya tinggal iaitu di Coventry ini, di pasar pun ada kain rentang untuk beri peringatan kepada orang ramai tentang COVID-19.
"Saya faham situasi lockdown ini bukan senang, kami sendiri di sini ambil masa lima bulan untuk kes jadi terkawal, jadi kena banyak bersabar," kata Nur Alifah Abdul Rahman, rakyat Malaysia yang bertugas sebagai pensyarah di UK.
Bagi Noor Amy Ismail, dia antara yang cukup terkesan kerana perniagaannya juga terjejas susulan tiga kali lockdown yang dilaksanakan negara itu.
"Sejak Mac tahun lalu, sudah tiga kali lockdown dilaksanakan. Tetapi saya bersyukur kerana sebelum pengumuman, kerajaan bagi kita masa yang cukup untuk buat persediaan.
"Mereka juga beri bantuan yang boleh dikatakan meringankan beban peniaga, dan semua arahan tentang penutupan dan pembukaan sangat jelas.
"Pendek kata komunikasi di sini sangat teratur... jadi, kita bersedia," katanya yang juga pelajar doktor falsafah di sebuah universiti di London.
Paling penting, vaksinasi merupakan talian hayat yang akan menentukan sepantas mana sesebuah negara itu mampu kembali pulih.
Bukan sahaja orang ramai yang perlu mengambil tanggungjawab mendapatkan vaksin, kerajaan juga perlu memberikan akses semudah yang boleh untuk rakyat.
"Di sini sangat senang. Saya daftar malamnya, esok terus walk in ke pusat vaksin. Tak sampai 10 minit semua sudah selesai, tak sempat nak rakam video atau ambil gambar pun.
"Di Chinatown baru-baru ini, mereka buka satu pusat, mereka bagi sahaja vaksin pada semua, termasuk pendatang tanpa izin.
"Mereka tak kisah sebab nak capai sasaran imuniti kelompok, dan itu sahaja cara nak buka ekonomi secepat mungkin," jelas Noor Amy.
"Anak-anak kena bantu untuk fahamkan ibu bapa dan ahli keluarga, beri mereka maklumat yang tepat supaya mereka sedar.
"Dalam masa yang sama, kena sabar untuk dapatkan vaksin. Orang Malaysia nak makan durian pun kena tunggu bertahun, jadi apa salahnya kita sabar sikit.
"Dakyah tentang vaksin juga perlu dihentikan. Kena sedar ini sahaja cara untuk kita kembali, sekurang-kurangnya boleh menjalani kehidupan dengan lebih bebas," ujar Nur Alifah.
Untuk rekod, UK pada Rabu mencatatkan 4,330 jangkitan dan 12 kematian. Namun Selasa lalu, negara itu mencatatkan sifar kematian akibat COVID-19, kali pertama sejak Mac 2021.
Negara itu juga kini sudah menghampiri sasaran imuniti kelompok apabila lebih 75 peratus populasi sudah menerima dos pertama vaksin manakala hampir 50 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin.
#United Kingdom
#rakyat Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#vaksin
#imuniti kelompok
#jangkitan
#London
#pendatang tanpa izin
#Nur Alifah Abdul Rahman
#rakyat Malaysia di United Kingdom
#Noor Amy Ismail