Vaksinasi COVID-19: ASEAN berada di landasan yang betul - Hishammuddin

Bernama
Mac 29, 2022 16:53 MYT
Hishammuddin berkata adalah penting untuk ASEAN terus bekerjasama, khususnya pemimpin dalam bidang pertahanan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN berada di landasan yang betul dalam menangani pandemik COVID-19 walaupun berdepan masalah kekurangan vaksin, logistik dan keengganan orang ramai untuk divaksin, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Setakat ini, beliau berkata hampir 90 peratus daripada populasi berisiko tinggi di rantau ini telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan sekurang-kurangnya satu dos, manakala di kebanyakan negara ASEAN, lebih 65 peratus daripada populasinya telah mencapai tahap imuniti terhadap COVID-19.
Beliau berkata negara anggota ASEAN telah bekerjasama, berkongsi amalan terbaik dan kini mencapai persefahaman bersama untuk mengurus pelbagai gelembung pelancongan dan laluan perjalanan apabila kadar vaksinasi bertambah baik dari semasa ke semasa.
"Saya yakin kita berada di landasan yang betul dan pasti akan mengatasi pandemik ini - bangkit dengan lebih kuat dan bijak, bersama-sama.
"Saya amat percaya kita hanya mampu berdiri seperti di mana kita berada hari ini melalui rasa tanggungjawab kita bersama untuk merebut inisiatif dan bekerjasama seperti yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini," katanya ketika berucap pada Forum Putrajaya 2022.
Justeru, Hishammuddin berkata adalah penting untuk ASEAN terus bekerjasama, khususnya pemimpin dalam bidang pertahanan.
Forum Putrajaya 2022 diadakan serentak dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022, yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Dengan tema 'Shared Regional Responsibility', forum itu adalah platform tidak rasmi untuk pegawai kerajaan, penggubal dasar, pakar keselamatan, pengamal pertahanan dan keselamatan, badan pemikir dan ahli akademik untuk menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai isu keselamatan dan pertahanan serantau pada masa ini.
-- BERNAMA
#ASEAN #vaksinasi #Hishammuddin Hussein #DSA
;