Vaksin Sinopharm, Sinovac masuk senarai pemerolehan COVAX

Bernama
Julai 13, 2021 05:53 MYT
Menurut GAVI, kedua-dua syarikat itu akan menyediakan sejumlah 110 juta dos vaksin dengan segera susulan varian virus Delta yang semakin mengancam sistem kesihatan awam global. - Gambar hiasan
BEIJING: Pakatan Vaksin Global (GAVI) mengumumkan pengeluar vaksin dari China, Sinopharm dan Sinovac telah memeterai perjanjian kerjasama dalam pembekalan vaksin dengan pelan peruntukan vaksin COVID-19 global (COVAX) pada Isnin.
Ketua Eksekutif GAVI, Seth Berkley berkata, ia akan membolehkan lebih banyak vaksin disediakan kepada anggota COVAX.
Difahamkan, kedua-dua syarikat dari China itu akan menyediakan vaksin kepada COVAX bermula bulan ini untuk membantu dunia khususnya negara membangun dalam membendung penularan COVID-19.
Dengan termeterainya perjanjian tersebut, isu kekurangan vaksin dalam kalangan negara membangun dipercayai akan dapat diatasi.
Menurut GAVI, kedua-dua syarikat itu akan menyediakan sejumlah 110 juta dos vaksin dengan segera susulan varian virus Delta yang semakin mengancam sistem kesihatan awam global.
Mengikut perancangan, GAVI akan membeli 550 juta dos vaksin China sehingga pertengahan tahun depan.
Terdahulu, vaksin dari Sinopharm dan Sinovac turut diluluskan untuk penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jun.
-- BERNAMA
Vaksin COVID-19 | COVAX beli 550 juta dos vaksin dari China
#COVID-19 #Sinopharm #vaksin #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #China #WHO #Sinovac #COVAX #GAVI #kerjasama #perjanjian #Varian Delta #kekurangan vaksin #negara membangun #Seth Berkley
;