Vaksin R21 peluang manusia perangi penyakit Malaria

Agensi
April 25, 2021 18:42 MYT
Dikenali sebagai R21 menjadi vaksin pertama yang meningkatkan harapan baru dalam menentang penyakit Malaria. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Vaksin malaria menjadi vaksin yang pertama mencapai matlamat keberkesanan lebih 75 peratus seperti ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Vaksin terhadap Malaria itu telah terbukti efektif pada kadar 77 peratus dalam memberikan perlindungan terhadap penyakit yang disebabkan oleh nyamuk itu.
Penemuan oleh saintis dari Universiti Oxford itu melibatkan percubaan terhadap 450 kanak-kanak berusia lima hingga 17 bulan di Burkina Faso.
Dikenali sebagai R21, vaksin itu adalah vaksin pertama yang meningkatkan harapan baharu terhadap peperangan menentang penyakit Malaria.
Mengikut rekod, WHO menganggarkan sebanyak 400,000 kematian dicatatkan dalam tempoh setahun akibat penyakit itu, kebanyakan mangsa dari kawasan luar bandar di Afrika.
Pada tahun 2019 pula, sebanyak 229 juta kes Malaria secara klinikal dilaporkan.
Sebelum ini, beberapa percubaan menghasilkan penawar atau vaksin terhadap penyakit itu gagal. Malah lebih daripada 100 calon vaksin Malaria yang dijalankan sejak sedekad lalu tidak menunjukkan keberkesanan pada tahap 75 peratus seperti ditetapkan oleh WHO.
Bagaimanapun, R-21 memberi peluang kepada penduduk dunia untuk memenangi peperangan menentang Malaria.
Dibangunkan syarikat ubat UK GlaxoSmithKline GSK, vaksin itu dijangka dapat mengurangkan jumlah jangkitan sebanyak 39 peratus pada kanak-kanak, serta penerima yang telah menerima empat dos secara berasingan.
Para penyelidik kini bekerjasama dengan Serum Institute of India dan pembuat vaksin AS Novavax (NVAX) bagi memulakan percubaan fasa ketiga.
Ia dijangka melibatkan 4,800 kanak-kanak berusia lima hingga 36 bulan di empat negara di benua Afrika.
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia #AS #WHO #India #Kanak-kanak #mangsa #kesihatan #calon #vaksin #malaria #R21 #penyelidikan
;