Vaksin Moderna dan Pfizer tidak beri kesan sampingan besar- Prof Dr Frederick
Rahimah Abdullah
November 21, 2020 17:40 MYT
November 21, 2020 17:40 MYT
: VAKSIN COVID-19, Moderna dan Pfizer dijangka tidak memberikan kesan sampingan besar kepada pengguna.
Profesor Perubatan dan Kesihatan Awam, Universiti Yale, Prof Dr Frederick L. Altice berkata, ujian ke atas 30,000 hingga 40,000 pesakit menunjukkan mereka tidak menunjukkan kesan sampingan yang teruk terhadap vaksin.
Bagaimanapun, kajian mungkin tidak menunjukkan pengurangan jangkitan baharu, namun sekurang-kurangnya ia memberikan kesan gejala.
"Apa yang saya boleh katakan ialah kedua-dua vaksin berkenaan tidak ada kesan samping besar, namun ia mungkin ada ketidakselesaan seperti pening kepala. Namun, tiada tanda menunjukkan kesan sampingan besar kepada 30,000 hingga 40,000 pesakit dalam setiap ujian dilakukan.
"Apa yang penting ialah kajian yang dilakukan tidak menunjukkan berlaku pengurangan jangkitan baharu, namun sekurang-kurangnya ia menunjukkan kesan gejala, " katanya semasa menjadi panel Facebook Live #PublicHealthTalk With UM And Yale 2.0 : Where We Are With The COVID-19 Vaccine pada Sabtu.
Katanya lagi, kajian vaksin Moderna dilakukan ke atas 11,000 daripada 30,000 calon penerima vaksin.
50 peratus daripada angka itu adalah dalam kategori placebo, 7,000 adalah warga emas berusia 65 tahun ke atas dan berisiko tinggi, dan bakinya adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai penyakit lain.
Dari segi ketahanan, hasil kajian juga mendapati vaksin Moderna boleh disimpan di tempat sejuk beku dan tidak memerlukan kawalan khas.
Manakala, vaksin Pfizer memerlukan kawalan suhu sejuk khas jika mahu ia bertahan sekurang-kurangnya enam bulan.
Bagaimanapun, Pfizer adalah lebih ke hadapan dari segi penggunaan teknologi berbanding Moderna.
Pada Jumaat, syarikat gergasi farmaseutikal, Pfizer dan rakan kongsi, BioNTech mengesahkan sudah memohon kelulusan penggunaan kecemasan untuk vaksin berkenaan.
Vaksin itu hanya mengambil masa 10 bulan selepas kod genetik coronavirus novel pertama kali diuraikan.