Vaksin kanser ovari sedang dibangunkan Universiti Oxford

Amanz
Oktober 7, 2024 11:45 MYT
Ini satu lagi usaha untuk membangunkan vaksin menentang kanser oleh Universiti Oxford yang sebelum ini berjaya membangunkan vaksin AstraZeneca bagi menentang COVID-19. - Foto Amanz
UNIVERSITI Oxford mengumumkan mereka kini sedang membangunkan vaksin yang menentang kanser ovari yang diharap akan menghapuskan penyakit ini dari muka bumi dalam masa terdekat.
Vaksin OvarianVax dibangunkan oleh pasukan yang diketuai oleh Profesor Ahmed Ahmed daripada Institut Perubatan Molekul MRC Weatherall Universiti Oxford.
Pasukan sedang mengenal pasti sasaran selular untuk vaksin yang dilakukan menerusi protein pada sel kanser ovari peringkat awal.
Apabila dikenal pasti kelak ia boleh diburu dan dimusnahkan oleh OvarianVax.
Penyelidik berharap vaksin kemudiannya boleh menjalani ujian klinikal ke atas wanita yang mempunyai mutasi gen BRCA.
Seramai 45% wanita dengan mutasi gen BRCA1 dan 20% wanita dengan mutasi gen BRCA2 dijangka menghidap kanser ovari menjelang usia 80 tahun.
Mereka disarankan untuk membuang kedua-dua ovari menjelang usia 35 tahun bagi mengurangkan risiko kanser yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat mempunyai anak selepas menjalani prosedur.
Masih tiada susur masa bilakah vaksin ini akan mula diberikan kepada orang ramai.
Yang pasti ia adalah satu lagi usaha untuk membangunkan vaksin menentang kanser oleh Universiti Oxford yang sebelum ini berjaya membangunkan vaksin AstraZeneca bagi menentang COVID-19.
Sumber: MRC Weatherall Institute of Molecular Medicine
#vaksin #Universiti Oxford #kanser ovari #OvarianVax
;