Vaksin gabungan selesema dan COVID-19 menerusi semburan hidung mula ujian klinikal

Agensi
Oktober 9, 2020 15:50 MYT
Ujian pada fasa awal itu akan membabitkan 100 peserta dewasa di Hong Kong bulan depan.- Gambar fail/BERNAMA
VAKSIN gabungan untuk kedua-dua penyakit selesema dan COVID-19 yang disembur menerusi hidung akan memulakan ujian klinikal pada manusia di Hong Kong bulan depan.
Ujian pada fasa awal itu akan membabitkan 100 sukarelawan dewasa, jelas Yuen Kwok-Yung, pakar penyakit berjangkit Universiti Hong Kong dalam laporan Bloomberg.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
Vaksin itu hampir sama dengan imunisasi selsema sedia ada di pasaran yang menggunakan semburan bagi menyekat virus respiratori di hidung sebelum memasuki tubuh badan.
“Idea kami adalah bagi melindungi daripada influenza dan COVID-19 dalam masa yang sama,” jelas Yuen.
Kajian ke atas semburan eksperimental itu telah menerima dana dari Pakatan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik antara kerajaan Norway dan Hong Kong.
Selain melindungi daripada dua virus dalam satu-satu masa, ia turut bertujuan untuk merangsang tindak balas imun apabila terdapat membran mukus dalam hidung.
Kata Yuen, pengeluar dari China akan menghasilkan vaksin eksperimental itu bagi kajian fasa pertama mulai bulan depan.
Ujian klinikal itu bertujuan untuk membuktikan keselamatannya serta dos yang optimum. Hasil kajian dijangka dikeluarkan dalam beberapa bulan akan datang.
Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat Dr Anthony Fauci sebelum ini menyarankan agar rakyat negara itu mendapatkan vaksin selsema supaya dapat mengelakkan berlaku ‘twindemic’ apabila gelombang selsema pada musim sejuk bertembung dengan pandemik COVID-19.
#vaksin #selsema #COVID-19 #koronavirus #Hong Kong #Anthony Fauci #twindemic #Influenza #Amerika Syarikat #vaccine
;