Vaksin COVID: EU lulus penggunaan Pfizer-BioNTech terhadap remaja
Astro Awani
Mei 28, 2021 07:46 MYT
Mei 28, 2021 07:46 MYT
COPENHAGEN: Suruhanjaya Eropah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech kepada remaja seawal usia 12 tahun.
Ini membuka jalan untuk pelancaran program vaksinasi yang lebih luas di blok itu selepas tindakan sama diambil Amerika Syarikat dan Kanada.
Keputusan itu dibuat Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) yang menyokong penggunaan vaksin dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
Pengesahan agensi itu dilakukan beberapa minggu selepas ia mula menilai memperluas penggunaan vaksin bagi memasukkan kumpulan umur tersebut.
Vaksin setakat ini telah digunakan di Kesatuan Eropah (EU) bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas.
EMA menyatakan, dua dos vaksin yang diperlukan dalam kumpulan umur 12 ke 15 tahun harus diberikan dengan selang masa sekurang-kurangnya tiga minggu sama seperti orang dewasa.
Bagaimana kata EMA, perkara itu bergantung kepada setiap negara EU untuk memutuskan sama ada akan menawarkan vaksin itu kepada golongan remaja.
Jerman pada Khamis, membuat pelan untuk menawarkan suntikan vaksin kepada remaja berusia 12 tahun bermula 7 Jun.
Langkah itu turut dijangka diikuti oleh Itali bagi memperluaskan kempen vaksinasinya.
Menyuntik vaksin kepada golongan lebih muda dianggap sebagai langkah penting mencapai imuniti kelompok dan memerangi pandemik.
Pfizer-BioNTech mendedahkan data pada bulan Mac menunjukkan vaksin dibangunkan mereka memberi perlindungan 100 peratus dalam ujian klinikal terhadap 2,260 remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
Pembuat vaksin lain termasuk AstraZeneca, Moderna dan Johnson & Johnson juga sedang berusaha untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak.