Vaksin COVID-19: WHO usaha pastikan akses adil ke seluruh dunia
Agensi
September 22, 2020 18:45 MYT
September 22, 2020 18:45 MYT
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha untuk memastikan akses vaksin COVID-19 yang adil ke seluruh dunia.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada masa sama percaya ia adalah jalan terpantas untuk menamatkan wabak dan mempercepat pemulihan ekonomi global.
Tambahnya, Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 Global (COVAX) iaitu inisiatif antarabangsa yang diketuai WHO dan rakan kongsi, kini berusaha untuk memastikan akses global yang adil terhadap vaksin COVID-19 berikutan hampir 200 vaksin akan memasuki peringkat ujian klinikal di seluruh dunia.
Ia bertujuan menyediakan dua bilion dos vaksin pada akhir 2021 dan apabila vaksin tersedia kelak, warga emas akan diutamakan.
"Semakin ramai calon yang kita uji, semakin tinggi peluang kita untuk mendapat vaksin yang selamat. Ini bukan kerja amal, ini adalah demi kepentingan terbaik setiap negara. Laluan terpantas untuk mengakhiri wabak dan mempercepat pemulihan ekonomi global adalah memastikan beberapa orang diberi vaksin di semua negara, bukan semua orang di beberapa negara, "katanya.
Jangkitan COVID-19 diseluruh dunia terus meningkat, dengan angka terkini mencapai 30.67 juta dan jumlah kematian melebihi 954,000 pada Ahad.