Vaksin COVID-19: WHO luluskan penggunaan kecemasan AstraZeneca
Astro Awani
Februari 15, 2021 05:32 MYT
Februari 15, 2021 05:32 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan kecemasan terhadap vaksin AstraZeneca.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, keputusan tersebut sekali gus membolehkan bekalan vaksin itu dihantar kepada rakan-rakan negara yang menyertai inisiatif COVAX dalam usaha menghentikan pandemik COVID-19.
“Hari ini kita mendapat perkhabaran gembira dalam usaha untuk mengawal pandemik ini. Hari ini WHO memberikan kelulusan kecemasan kepada dua versi vaksin Oxford AstraZeneca dan memberikan lampu hijau untuk diedarkan ke seluruh dunia melalui program COVAX,” katanya.
Pada masa sama, Tedros memaklumkan jumlah jangkitan COVID-19 seluruh dunia kini menurun buat lima minggu berturut-turut.
Malah katanya, jumlah jangkitan baharu ketika ini adalah paling rendah sejak Oktober tahun lalu.
“Jumlah jangkitan COVID-19 seluruh dunia kini menunjukkan penurunan untuk lima minggu berturut-turut.
“Minggu lepas, jumlah jangkitan adalah paling rendah sejak Oktober lalu. Setakat tahun ini, jumlah jangkitan mingguan menurun kepada lebih setengah beranding lebih lima juta kes pada 4 Januari kepada 2.6 juta kes, pada permulaan minggu 8 Februari, dalam tempoh hanya lima minggu.
“Ini menunjukkan bahawa langkah-langkah kesihatan awam berkesan walaupun terdapat varian baharu,” jelasnya.