Vaksin COVID-19: Tiada bukti penggunaan AstraZeneca perlu disekat

Astro Awani
Mac 31, 2021 06:00 MYT
Pakar masih tidak dapat mengenal pasti faktor spesifik kejadian tersebut termasuk faktor umur, jantina atau sejarah rekod kesihatan. - Foto REUTERS
BRUSSELS: Ketua Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) menyatakan tiada bukti yang menyokong sekatan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca dalam kalangan rakyat mana-mana negara seperti yang dilakukan Jerman.
Namun, Pengarah Eksekutif EMA, Emer Cooke memaklumkan agensinya akan terus memantau dan mengkaji laporan kajian kes baharu yang dilaporkan berkenaan dakwaan pembekuan darah.
Ini susulan, panel pakar bebas di Jerman pada Selasa mendedahkan suntikan vaksin AstraZeneca tidak boleh diberikan kepada mereka yang berusia di bawah 60 tahun kerana peningkatan kes berkaitan pembekuan darah selepas menerima vaksin tersebut.
Kerajaan Jerman kemudian akur kepada pendedahan itu dan menguatkuasakan arahan pemberian vaksin itu kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
“Beberapa pakar telah memaklumkan mereka masih tidak dapat mengenal pasti faktor spesifik kejadian tersebut termasuk faktor umur, jantina atau sejarah rekod kesihatan berkenaan pembekuan darah kerana ia merupakan kes jarang berlaku.
“Seperti yang saya katakana sebelum ini, kematian akibat pengambilan vaksin berkenaan masih belum terbukti namun terdapat kemungkinan dan kajian lanjut sedang dilakukan.
“Berdasarkan pengetahuan saintifik ketika ini, tiada bukti yang menyokong sekatan penggunaan vaksin tersebut dalam kalangan rakyat mana-mana negara,” katanya.
Justeru itu jelasnya, pihaknya akan terus mengkaji dakwaan itu dalam memastikan keselamatan penggunaan vaksin tersebut.
#COVID-19 #AstraZeneca #EMA #eropah #vaksin #Emer Cooke #pembekuan darah
;