Vaksin COVID-19: Suntikan penggalak beri sinar harapan kepada penerima di UK

Astro Awani
September 3, 2021 08:01 MYT
Sekitar 40 peratus individu yang mempunyai sistem imun yang lemah sama seperti Bristow menunjukkan fungsi vaksin berkurangan selepas menerima dua dos suntikan. -Gambar fail/Bernama
LONDON: Suntikan dos penggalak atau booster shot akan diberikan kepada individu dengan sistem imun badan lemah di United Kingdom.
Sekurang-kurangnya setengah juta individu akan menerima suntikan ketiga ini.
Bagi seorang warga emas di Wolverhampton, Martin Bristow, suntikan penggalak itu akan bantu memberi perlindungan optimum.
Apatah lagi bagi dirinya yang menghidapi myeloma, sejenis kanser darah.
Ia membuatkan sistem imunnya lemah, dan sejak 18 bulan yang lalu, pandemik COVID-19 menyukarkan lagi keadaan buat dirinya.
Sekitar 40 peratus individu yang mempunyai sistem imun yang lemah sama seperti Bristow menunjukkan fungsi vaksin berkurangan selepas menerima dua dos suntikan.
Bagi Bristow, selepas menerima suntikan penggalak, beliau lebih yakin untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
"(Saya bimbang) walaupun untuk menonton perlawanan bola sepak.
"(Tetapi dengan dos penggalak ini), ia sesuatu yang buat saya lebih selesa untuk lakukan. Begitu juga dengan banyak aktiviti normal yang lain," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid memaklumkan pemberian dos penggalak itu tidak akan mengganggu perancangan vaksinasi yang sedang berlangsung.
Ia adalah berdasarkan keputusan jawatankuasa bersama vaksinasi dan imunisasi yang akan bermula bulan ini.
#COVID-19 #United Kingdom #dos ketiga #dos penggalak
;