Vaksin COVID-19: Seluruh populasi dunia perlu divaksin

Astro Awani
Januari 18, 2022 10:04 MYT
Tegas Guterres, komuniti antarabangsa perlu berdepan pandemik dengan ekuiti dan kesaksamaan. - Foto fail/REUTERS
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar seluruh individu di dunia ini divaksinasi bagi melindungi diri dari COVID-19 dan sebagai jalan keluar dari pandemik.
Setiausaha Agung, Antonio Guterres menerusi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 secara dalam talian, memperincikan perkara tersebut.
Jelasnya, situasi dua tahun lepas membuktikan bahawa sekiranya ada yang dipinggirkan, ia akan membawa kepada lebih banyak keburukan.
Sekiranya gagal untuk memvaksinasi setiap individu, jelasnya ia membuka peluang untuk kemunculan varian-varian baharu menular di sempadan dan menyaksikan peningkatan kes harian sehingga seterusnya merencatkan pemulihan ekonomi.
Justeru itu tegasnya, komuniti antarabangsa perlu berdepan pandemik dengan ekuiti dan kesaksamaan.
Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus populasi dunia divaksinasi menjelang akhir 2021 dan 70 peratus menjelang pertenghan tahun ini.
Namun, sasaran itu masih lagi jauh untuk dicapai.
Ini kerana jelasnya, kadar vaksinasi di negara kaya jauh lebih tinggi sehingga tujuh kali ganda berbanding negara miskin seperti Afrika.
#COVID-19 #vaksin #Antonio Guterres #Forum Ekonomi Dunia
;