Vaksin COVID-19: Sekatan eksport EU akibatkan situasi 'rugi-rugi'

Astro Awani
Mac 25, 2021 07:19 MYT
Seorang petugas kesihatan sedang mengendalikan pemberian suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech di sebuah hospital swasta di Perancis, 5 Mac, 2021. REUTERS
Sekatan eksport Kesatuan Eropah (EU) terhadap vaksin COVID-19 akan mengakibatkan situasi 'rugi-rugi' terhadap semua orang, termasuk negara anggotanya.
Kenyataan itu dikeluarkan seorang eksekutif Pfizer susulan blok itu memperketatkan pengawasan penghantaran vaksin di luar sempadannya.
Tindakan EU itu akan memberikannya skop lebih besar untuk menyekat penghantaran vaksin ke negara-negara dengan kadar inokulasi lebih tinggi, seperti Britain, atau yang tidak berkongsi vaksin yang mereka hasilkan.
Perkara ini mengundang kebimbangan memandangkan sifat global pengeluaran vaksin, di mana dosnya mengandungi ratusan bahan yang diperoleh di puluhan negara.
Sekatan baharu terhadap penghantaran suntikan atau bahan mentah boleh mengganggu usaha memerangi wabak ketika dunia berjuang mencegah gelombang jangkitan ketiga.
Menurut pengurus Pfizer di Switzerland, Sabine Brukner, pihaknya memerhatikan perkembangan terbaharu itu dengan penuh kebimbangan.
"Kepimpinan eksekutif kami telah berhubung terus dengan EU. Kedudukan kita jelas, kita sangat kritikal, kita sama sekali tidak mampu menyokongnya.
"Sekiranya sekatan eksport benar-benar terjadi, ia merupakan satu situasi 'rugi-rugi' untuk semua orang, termasuk bagi anggota EU," katanya pada satu sidang media di Zurich pada Khamis.
Peraturan baru yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Eropah, yang mengawasi dasar perdagangan EU, memperluas langkah-langkah yang ada bertujuan untuk memastikan eksport yang dirancang oleh pembuat ubat-ubatan tidak mengancam bekalan blok itu.
Mereka menambah 17 negara yang sebelum ini dikecualikan termasuk Israel, Norway dan Switzerland dimasukkan ke dalam senarai negara eksport vaksin yang dihasilkan oleh EU memerlukan lesen.
Switzerland, misalnya, mendapat suntikan Pfizer COVID-19 dari kilang di Belgium.
#European Union #WHO #EU #Kesatuan Eropah #vaksin #COVID-19 #Pfizer #Moderna #sekatan #suntikan #bahan mentah #sempadan #kebimbangan #gelombang ketiga #Switzerland #Sabine Brukner #Suruhanjaya Eropah #perdagangan #eksport
;