Vaksin COVID-19: Rakyat Mexico berpusu dapatkan suntikan pada musim cuti

Astro Awani
Disember 28, 2021 07:26 MYT
Seorang warga emas dibawa ke pusat pemberian vaksin bagi mendapatkan dos penggalak di Mexico City. - Foto AP
MEXICO CITY: Rakyat Mexico menyerbu pusat vaksinasi pada musim cuti susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara itu.
Menurut Setiausaha Kesihatan Persekutuan, antara Jumaat sehingga Ahad, sebanyak 3,719 kes baharu COVID-19 dilaporkan di negara itu.
Sehingga Isnin, terdapat 3.951 juta kes COVID-19 di Mexico dengan 298,777 kematian dicatatkan.
Sejak permulaan kempen vaksinasi kebangsaan, 88 peratus warga berusia 18 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Timbalan Setiausaha Kesihatan Hugo Lopez Gatell akui kemungkinan gelombang keempat jangkitan melanda negara itu.
Bagaimanapun pihaknya menjangkakan kadar kemasukan ke hospital yang rendah kerana keberkesanan vaksin.
Sehingga kini, 42 kes varian Omicron COVID-19 telah dikesan di Mexico.
#COVID-19 #vaksin #Omicron #Hugo Lopez Gatell
;