Vaksin COVID-19: Program vaksinasi Jerman tidak lagi terhad kepada golongan rentan
Astro Awani
Mei 19, 2021 10:36 MYT
Mei 19, 2021 10:36 MYT
MULAI 7 Jun ini, Jerman akan membenarkan semua penduduk dewasanya mendapatkan vaksin COVID-19 secara percuma.
Sehubungan itu, dasar ketika ini yang menyaksikan program vaksinasi di negara itu hanya terhad kepada golongan berisiko tinggi akan tidak lagi terpakai.
Menteri Kesihatan Jens Spahn memaklumkan perkara itu kepada media di Berlin pada Isnin.
Katanya, sistem sedia ada yang mengamalkan 'keutamaan' merupakan satu tanggungjawab moral, bukan satu keperluan dari segi epidemiologi.
"Ia bukan satu amalan birokrasi, malah sistem itu telah berjaya menyelamatkan nyawa," tegas Spahn.
Bagaimanapun, katanya, keputusan bermula bulan depan itu tidak bermaksud semua individu dewasa akan mendapat vaksin dengan segera.
Ini kerana, jelasnya, masalah logistik dan kekurangan bekalan ketika ini masih berterusan.
Spahn bagaimanapun mengulangi janji kerajaan bahawa setiap warganegara yang ingin mendapatkan vaksin COVID-19 akan menerimanya pada musim panas ini.
Kempen vaksinasi Jerman meningkat dengan cepat beberapa minggu kebelakangan ini dan dijangka pada akhir bulan ini, sekitar 40 peratus rakyatnya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
Tambahnya, pihak berkuasa sedang membincangkan bila dan bagaimana untuk memberikan vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 16 tahun.
Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) menyasarkan untuk meluluskan penggunaan vaksin Pfizer terhadap remaja seawal usia 12 tahun bermula Jun.
#COVID-19
#vaksin
#Jerman
#dewasa
#percuma
#Jens Spahn
#kesihatan
#kerajaan
#remaja
#program vaksinasi
#Pfizer
#suntikan