Vaksin COVID-19: PM Perancis zahir ucapan terima kasih buat petugas kesihatan
Agensi
April 6, 2021 07:18 MYT
April 6, 2021 07:18 MYT
PARIS: Perdana Menteri Perancis, Jean Castex menzahirkan ucapan terima kasih buat petugas barisan hadapan seluruh negara dalam usaha melancarkan program vaksinasi di negara itu.
Castex membuat kunjungan ke salah sebuah pusat vaksinasi terbesar di negara itu, Stade de France, selepas ia dibuka secara rasmi pada Selasa.
Pusat vaksinasi tersebut diharap dapat mempercepatkan program imunisasi negara itu dengan lebih 10,000 orang dijangka akan divaksin setiap minggu.
“Pusat vaksinasi ini akan memberikan vaksinasi sehingga 10,000 orang setiap minggu, saya ingin menzahirkan kesyukuran kepada setiap petugas di semua 1,700 pusat vaksinasi yang beroperasi di seluruh Perancis.
“Kita semua faham bahawa kita tidak boleh memberikan vaksin kepada setiap orang dalam satu masa, kita perlu bersabar.
“Anda juga sudah mengetahui tarikh yang ditetapkan, kumpulan utama yang dikenal pasti, penambahan kumpulan dan kita akan memperluaskan dalam hari-hari akan datang,” ujarnya.
Lawatan tersebut menyusul sehari selepas kerajaan mengumumkan sekatan terbaharu yang dikuat kuasakan termasuk penutupan sekolah selama tiga minggu, sekatan perjalanan domestik dan penutupan kedai-kedai tidak penting.
Program imunisasi Perancis fasa pertama merangkumi warga emas berusia 70 tahun ke atas dan mereka yang berisiko serta petugas kesihatan.
#program vaksinasi
#petugas kesihatan
#warga emas
#Jean Castex
#Perdana Menteri Perancis
#COVID-19
#petugas barisan hadapan