Vaksin COVID-19: Pfizer serah data ujian awal dos ketiga kepada FDA

Astro Awani
Ogos 16, 2021 06:58 MYT
Syarikat itu juga menyatakan dos ketiga berkesan menangani varian yang mudah berjangkit seperti Beta dan Delta. - Foto fail/REUTERS
SYARIKAT farmaseutikal Pfizer dan BioNTech menyerahkan laporan ujian klinikal peringkat awal kepada pengawal selia Amerika Syarikat untuk minta kelulusan penggunaan dos penggalak vaksin COVID-19.
Mereka berkata, dos ketiga menunjukkan perlindungan yang lebih tinggi terhadap koronavirus berbanding hanya dua dos.
Syarikat itu juga menyatakan dos ketiga berkesan menangani varian yang mudah berjangkit seperti Beta dan Delta.
Pfizer menyatakan keberkesanan vaksinnya menurun dari masa ke semasa dengan memetik kajian yang menunjukkan keberkesanan vaksin turun dari 96 peratus kepada 84 peratus.
Ini sekaligus membuatkan beberapa negara mula memberikan dos ketiga untuk meningkatkan perlindungan.
Bagaimanapun tindakan itu menimbulkan kemarahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meminta suntikan penggalak ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya September.
Pfizer dan BioNTech berkata, kesemua sukarelawan terlibat ujian klinikal itu mendapat suntikan ketiga pada bulan kelapan atau sembilan selepas dos kedua mereka.
Pembuat vaksin itu akan menyerahkan data ujian klinikal kepada Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) dalam minggu akan datang.
Ujian klinikal Fasa 3 untuk dos penggalak akan diberikan tidak lama lagi.
Minggu lalu, pengawal selia Amerika Syarikat membenarkan dos ketiga vaksin COVID-19 Pfizer dan Moderna untuk individu yang mempunyai sistem imunisasi lemah.
#COVID-19 #vaksin #Pfizer-BioNTech #WHO #varian Beta #Varian Delta
;