Vaksin COVID-19: Peru mahu syarikat pengeluar lanjutkan tarikh luput elak pembaziran

Astro Awani
Januari 16, 2022 08:32 MYT
Kadar vaksinasi di negara itu lebih 80 peratus daripada populasi sasarannya dengan dua dos suntikan COVID-19 dan sedang dalam kempen vaksin dos penggalak. - Foto fail/ETX Studio
LIMA: Menteri Kesihatan Peru, Hernando Cevallos meminta syarikat vaksin COVID-19 untuk melanjutkan tarikh luput lebih daripada tiga bulan pada ketika ini.
Ia sebagai langkah untuk mengurangkan risiko pembaziran dos susulan jangka masa tamat tempoh yang singkat.
Kerajaan Peru, katanya, meminta salah satu makmal yang membekalkan vaksin ke Peru untuk menghantarnya dengan tarikh luput sehingga enam bulan.
Namun ia tidak dapat dilakukan berikutan keengganan makmal atas hujah tarikh luput berkenaan sudah ditetapkan sejak awal.
Peru kini menjadi salah sebuah negara dengan kadar kematian per kapita tertinggi di dunia - menandatangani kontrak vaksin bersama Sinopharm China, Moderna, Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.
Negara dengan populasi 33 juta itu menghadapi gelombang ketiga jangkitan yang dicetuskan oleh varian Omicron.
Kadar vaksinasi di negara itu lebih 80 peratus daripada populasi sasarannya dengan dua dos suntikan COVID-19 dan sedang dalam kempen vaksin dos penggalak.
Kes COVID-19 negara itu kin hampir 2.5 juta dengan 203,302 kematian.
#COVID-19 #vaksin #tarikh luput #Hernando Cevallos
;