Vaksin COVID-19: Penjelasan jururawat kenapa tiba-tiba pengsan selepas disuntik
Agensi
Disember 20, 2020 13:33 MYT
Disember 20, 2020 13:33 MYT
WASHINGTON: Kecoh apabila seorang jururawat yang sedang ditemubual di hadapan kamera selepas menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer tiba-tiba pengsan.
Video tersebut menjadi tular di media sosial dan ada yang memberikan komen 'nakal' dengan menyifatkan pemberian suntikan tersebut sebagai genosid (pembunuhan besar-besaran).
Lebih mencetuskan kebimbangan apabila video tersebut dikongsi dengan kapsyen kontroversi seperti: 'Watch this nurse pass out after receiving the COVID vaccine. It’s so safe though, right? This will become a mass genocide if people continue to follow these rabid dictators.'
Ketika insiden itu, Ketua Jururawat, Catholic Health Initiatives (CHI) Memorial Hospital di Chattanooga, Tennessee, Amerika Syarikat (AS), Tiffany Dover yang menerima suntikan Pfizer-BioNTech COVID-19 sedang ditemubual secara langsung oleh sebuah media tempatan.
Kira-kira 17 minit selepas menerima suntikan dia mula merasa pening, dan dilihat memegang kepala dan beredar sebelum jatuh pengsan.
Video berdurasi dua minit 12 saat itu turut disiarkan menerusi WTVC-TV NewsChannel 9 dan WRCBtv 3.
Namun semua kekalutan itu terungkai apabila Dover kemudiannya dilaporkan tersedar kembali, dan menjelaskan bahawa dia sememangnya akan berasa pening apabila kesakitan.
Dalam satu emel kepada Reuters, jurucakap CHI Memorial memaklumkan jururawat itu kini sembuh sepenuhnya.
Sementara itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) dalam laman web rasminya memberitahu, reaksi seperti ini sering berlaku dalam sebarang proses suntikan vaksin, dan kejadian itu tiada kena mengena dengan kualiti vaksin berkenaan.
"Tidak ada sebarang bukti yang mengaitkan vaksin itu boleh memudaratkan kesihatan.
"Malah pada 11 Disember lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan suntikan vaksin terbabit di negara itu.
"Kelulusan itu diberikan selepas menjalani ujian klinikal dan analisis keselamatan membabitkan lebih 43,000 sampel," jelasnya.
FDA juga ada menjelaskan, sebahagian yang menerima suntikan vaksin tersebut mungkin akan mendapat kesan sampingan seperti demam, penat, sakit kepala dan sakit otot.
Sementara ada juga yang mungkin akan mendapat alahan, sebagai reaksi kepada vaksin tersebut.
Namun ia adalah simptom biasa bagi pengambilan mana-mana vaksin pun.
#vaksin
#Pfizer
#COVID-19
#FDA
#alahan
#Kesan sampingan vaksin
#pengsan
#jururawat
#pengsan disuntik