Vaksin COVID-19: Pengedaran Sputnik V di Rusia diperluas
Agensi
Disember 7, 2020 21:12 MYT
Disember 7, 2020 21:12 MYT
MOSCOW: Vaksin yang dihasilkan Rusia kini diedarkan di seluruh negara itu selepas proses vaksinasi secara besar-besaran di lakukan di Moscow pada hujung minggu.
Pada Isnin, anggota tentera di Zabaykalsky Krai wilayah Timur negara itu diberikan suntikan vaksin tersebut.
Sementara itu, kira-kira 1,000 dos vaksin dihantar ke sebuah gudang di wilayah Chelyabinsk, sebelum diedarkan kepada petugas perubatan dan pengajar.
Vaksin tersebut dilaporkan perlu disimpan dalam suhu sejuk sehingga mencecah negatif 18 darjah Celcius dan akan dibawa di dalam minivan sejuk.
Sebanyak 2,000 lagi dos vaksin dijangka diedarkan di wilayah itu menjelang akhir tahun ini dan akan diberikan kepada pegawai perubatan, guru, pegawai polis dan pekerja sosial.
Terdahulu, vaksin Sputnik V mula diedarkan di Moscow pada Sabtu sehari selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan pengunaan vaksin itu di seluruh negara.
Para penyelidik mendakwa vaksin itu mencatatkan kadar keberkesanan sehingga 95 peratus.