Vaksin COVID-19: Panel penasihat syor keperluan dos penggalak
Astro Awani
Oktober 15, 2021 08:24 MYT
Oktober 15, 2021 08:24 MYT
JAWATANKUASA Penasihat Kesihatan Amerika Syarikat mendedahkan, sebilangan rakyat negara itu yang menerima suntikan vaksin COVID-19, Moderna sekurang-kurangnya enam bulan lepas perlu mendapatkan suntikan penggalak atau 'booster shot' untuk meningkatkan perlindungan terhadap virus itu.
Jawatankuasa yang tidak terikat kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) itu sebulat suara mengesyorkan cadangan 'booster shot' kepada warga emas.
Ini termasuk kepada golongan dewasa yang mempunyai rekod kesihatan, pekerjaan dan gaya hidup yang berisiko kepada jangkitan COVID-19.
Cadangan tersebut adalah tidak termaktub kepada mana-mana pihak, namun ia adalah langkah utama untuk mengembangkan kempen 'booster shot' kepada jutaan rakyat Amerika Syarikat yang lain.
Kebanyakan rakyat Amerika Syarikat yang sebelum ini menerima suntikan vaksin Pfizer enam bulan lepas sudah mendapatkan 'booster shot' mereka selepas FDA meluluskan penggunaannya bulan lalu.
Malah, jawatankuasa penasihat FDA sebelum ini dilaporkan mengesyorkan 'booster shot' terhadap vaksin Moderna kepada golongan berisiko.
Namun, masih tiada dapatan kajian bahawa kini adalah masa untuk memberikan 'booster shot' sama ada vaksin Pfizer atau Moderna kepada orang awam.
Namun panel penasihatan menegaskan, itu hanya apa yang dibentangkan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden.