Vaksin COVID-19: Negara G7 dijangka sumbang 1 bilion dos kepada negara miskin
Astro Awani
Jun 11, 2021 09:10 MYT
Jun 11, 2021 09:10 MYT
CARBIS BAY: Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson mengharapkan negara Kumpulan Tujuh (G7) bersetuju untuk menyumbangkan 1 bilion dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara miskin.
Dalam sidang kemuncaknya yang akan bermula hari ini, beliau berharap dengan usaha ini ia akan membantu memvaksinasi seramai mungkin penduduk dunia menjelang tahun hadapan.
Kenyataan beliau dibuat beberapa jam selepas kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden untuk menyumbang 500 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech.
Jelasnya, United Kingdom pula akan menyumbang sekurang kurangnya 100 juta dos lebihan kepada negara-negara miskin.
Johnson turut meminta para pemimpin G7 untuk memberi komitmen ke arah usaha memvaksin seluruh dunia menjelang akhir tahun 2022 dan kumpulan itu dijangka menyalurkan 1 bilion dos.
100 juta dos yang akan disalurkan oleh United Kingdom, 80 juta daripadanya akan disumbangkan ke program COVAX yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan selebihnya akan melalui perkongsian dua hala dengan negara-negara memerlukan.
Jelasnya, dengan meninggalkan negara-negara miskin untuk menangani wabak itu sendiri, ia beri risiko untuk virus itu terus bermutasi sekaligus kurangkan keberkesanan vaksin.
Sokongan logistik juga akan diperlukan untuk membantu menguruskan sejulah besar vaksin di negara-negara miskin.
Dos vaksin dari United Kingdom adalah jenis AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Janssen, Moderna dan beberapa yang lain.