Vaksin COVID-19: Moderna enggan kongsi formula
Astro Awani
Oktober 12, 2021 09:18 MYT
Oktober 12, 2021 09:18 MYT
MODERNA tidak berhasrat berkongsi resipi atau formula vaksin COVID-19 keluarannya.
Ini kerana, para eksekutif syarikat itu menyimpulkan, langkah meningkatkan pengeluaran adalah kaedah terbaik untuk menambah bekalan global.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Moderna Noubar Afeyan pada Isnin, syarikat itu tidak akan mendakwa pelanggaran hak paten terhadap pengeluar lain yang membangunkan vaksin sama ketika wabak melanda.
Sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan agar Moderna berkongsi formula vaksin berkenaan.
"Kami mampu meningkatkan pengeluaran, dan telah pun memulakannya, daripada satu bilion dos tahun ini kepada 3 bilion dos pada 2022.
"Kami komited memainkan peranan kami. Pihak lain menyatakan akan melakukan peranan masing-masing.
"Jadi dalam jangka masa enam ke sembilan bulan akan datang adalah tempoh masa untuk hasilkan vaksin yang berkualiti tinggi dengan kaedah yang cekap.
"Oleh itu, saya berpendapat, di sebalik anggapan yang menyatakan kami tidak mempunyai kapasiti yang cukup, tetapi sebenarnya kami boleh lakukannya.
"Kami bergerak dari situasi produksi sifar ke produksi bilion dos dalam tempoh kurang daripada satu tahun. Dan saya fikir kita boleh tambahkan lagi," katanya pada satu sidang media di Rom.
Afeyan menyatakan, setelah menganalisis sama ada lebih baik untuk berkongsi teknologi mRNA, Moderna memutuskan ia mampu memperluaskan pengeluaran serta menghasilkan berbilion dos tambahan pada 2022.
Vaksin COVID-19 adalah satu-satunya produk komersial Moderna.
Syarikat itu minggu lalu mengumumkan rancangan membuka kilang vaksin di Afrika, namun ia mungkin memakan masa bertahun untuk membangunkannya.