Vaksin COVID-19: Lindungi orang belum disuntik sebelum beri dos ketiga

Astro Awani
Disember 15, 2021 08:10 MYT
Dua dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech didapati memberikan 70 peratus perlindungan terhadap kemasukan ke hospital di Afrika Selatan. - Foto AP
LINDUNGI kumpulan yang belum divaksin sebelum menawarkan dos ketiga atau penggalak.
Itu gesaan Pengarah Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Mike Ryan yang mahu seluruh dunia bersatu dalam isu ini.
Antara lain, gesaan menyusul satu kajian yang dijalankan mendapati, dua dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech memberikan 70 peratus perlindungan terhadap kemasukan ke hospital di Afrika Selatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Jelas Ryan, ia menunjukkan keberkesanan vaksin itu terhadap varian baharu, Omicron.
Menurut Ryan, pihaknya menjangkakan vaksin semasa akan memberikan perlindungan ketara terhadap kemasukan ke hospital dan kematian.
Namun data yang diterima WHO adalah sangat awal dan masih memerlukan pemantauan rapat.
Beliau tidak menafikan pemberian dos penggalak itu adalah penting, namun untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa dan memastikan varian baharu tidak menular, WHO menggesa supaya fokus diberikan kepada mereka yang tidak divaksin.
#COVID-19 #vaksin #Omicron #WHO
;