Vaksin COVID-19: Lewat sedikit suntikan dos kedua tidak mengapa - Dr Fauci
Astro Awani
Februari 2, 2021 10:35 MYT
Februari 2, 2021 10:35 MYT
KELEWATAN beberapa minggu suntikan kedua vaksin COVID-19 tidak akan memberi kesan yang ketara terhadap keberkesanannya.
Apa yang lebih penting ialah, jelas pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci, suntikan dos kedua tetap diberikan bagi mencapai tahap penuh keberkesanan.
"Berdasarkan data dan kajian sains, dos Moderna (diberi dalam selang masa) selama 28 hari, manakala Prizer selama 21 hari. Itu yang digariskan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
"Jika anda boleh ikut, itulah yang optimal. Tetapi jika seseorang itu mendapatkan suntikan kedua lewat beberapa minggu, ia lebih baik daripada tidak mendapat suntikan kedua langsung.
"Tidak semestinya ikut jadual yang ditetapkan. Ada kelonggaran. Jika tidak dapat suntikan kedua dalam tempoh 21 hari atau 28 hari, tak mengapa.
"Melainkan jika anda lewat enam bulan. Itu kes lain. Jika lewat empat, lima atau enam minggu, keberkesanannya tidak banyak beza. Bagaimanapun, sebaiknya, ikutlah jadual yang ditetapkan," katanya pada Isnin.
Dr Fauci berkata demikian pada Persidangan COVID-19 Persatuan AIDS Sedunia (IAS).
Beliau turut menjelaskan kekeliruan yang berlaku di Amerika Syarikat mengenai sama ada keutamaan patut diberi kepada penerima dos pertama atau dos kedua ketika vaksin mula diedarkan lewat Disember lalu.
Jelasnya, kepentingan utama ialah memastikan proses aliran vaksin berjalan lancar supaya tiada penangguhan.
Menurutnya, ia lebih baik berbanding membiarkan vaksin yang tersedia disimpan di dalam peti sejuk atau stor.
#Amerika Syarikat
#AS
#pandemik
#Anthony Fauci
#keselamatan
#kesihatan
#warga emas
#COVID-19
#vaksin
#Pfizer
#penyakit berjangkit