Vaksin COVID-19: Kemampuan tempatan yang teratur satu aspek penting - Fauci
Astro Awani
Februari 1, 2021 07:45 MYT
Februari 1, 2021 07:45 MYT
KEMAMPUAN tempatan yang teratur bagi melancarkan proses pemberian vaksin COVID-19 merupakan perkara utama dipelajari ketika program vaksinasi Amerika Syarikat (AS) bermula hujung tahun lalu.
Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS Dr Anthony Fauci berkata, ini susulan pihaknya mendapati terdapat gangguan yang mencetus masalah sekiranya mereka tidak bersedia.
“Program vaksinasi melibatkan banyak faktor iaitu penghantaran, pengedaran sehingga ke proses suntikan.
“Satu perkara yang kami pelajari adalah, anda perlu mempunyai kemampuan tempatan yang teratur.
"Pada mulanya, kami menerima vaksin, namun oleh kerana kami tidak mempunyai langkah susulan yang efisien, wujud gangguan melibatkan jumlah vaksin yang diterima dan yang diberikan kepada penduduk,” katanya.
Bercakap pada Persidangan COVID-19 Persatuan AIDS Sedunia (IAS) yang diadakan secara maya lewat Isnin, Dr Fauci berkata, AS bagaimanapun, kini berdepan masalah permintaan vaksin melebihi penawaran.
Justeru, katanya, Presiden Joe Biden sedang berusaha sebaik mungkin termasuk mengeluarkan beberapa arahan eksekutif bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi dan diedarkan dengan pantas kepada orang ramai.
Dr Fauci turut menjelaskan, keutamaan diberi kepada petugas perkhidmatan kesihatan dan mereka yang tinggal di rumah jagaan susulan jumlah kematian tertinggi direkodkan dalam kalangan mereka.
#Amerika Syarikat
#Anthony Fauci
#COVID-19
#vaksin
#kesihatan
#program vaksinasi
#Joe Biden
#jumlah kematian
#AS
#WHO