Vaksin COVID-19: Jerman sumbang 3 juta dos kepada Balkan Barat

Astro Awani
Julai 5, 2021 23:12 MYT
Angela Merkel, Canselor Jerman. - Gambar fail
JERMAN akan menyumbangkan kira-kira 3 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara di Balkan Barat secepat mungkin, kata Canselor Angela Merkel pada Isnin.
Terdahulu pada Mei, beliau berkata, negara itu sudah menyediakan sejumlah 30 juta dos kepada negara-negara miskin untuk disumbangkan menjelang akhir tahun ini.
Katanya, sebahagian besar akan diberi kepada inisiatif COVAX yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bagi program vaksinasi di negara memerlukan, sementara tiga juta akan diberikan terus kepada negara-negara Balkan Barat.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Jerman akan mendermakan 3 juta daripada 30 juta dos yang kebanyakannya akan diberikan kepada COVAX, kepada jabatan vaksinasi ACTA (Access to COVID-19 Tools Accelerator), yang akan terus disalurkan kepada negara-negara Balkan Barat secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Berlin.
Namun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut berhubung garis masa perkara itu.
Untuk rekod, Jerman ketika ini berada dalam fasa memuaskan bagi kempen vaksinasinya.
Namun, laporan antarabangsa menyebut, negara itu masih perlu berjaga-jaga dalam mendepani penularan varian Delta.
#WHO #COVID-19 #COVAX #vaksin #Varian Delta #Balkan Barat #Angela Merkel #Jerman #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #program vaksinasi #PBB