Vaksin COVID-19: Jerman bakal tamatkan inisiatif ujian saringan percuma
Astro Awani
Ogos 10, 2021 07:23 MYT
Ogos 10, 2021 07:23 MYT
JERMAN dijangka menamatkan ujian saringan COVID-19 percuma buat rakyatnya bermula Oktober ini.
Menurut Canselor Angela Merkel, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan rakyatnya mendapatkan suntikan vaksin.
Malah jelasnya, bekalan vaksin di negara itu ketika ini adalah mencukupi buat keseluruhan populasi dengan lebih 50 peratus sudah melengkapkan vaksinasi.
"Kita memiliki bekalan vaksin yang mencukupi dan kita perlu mempergiatkan vaksinasi. Kita tidak lagi berada di atas berbanding negara Eropah yang lain. Terdapat negara lain yang lebih baik daripada Jerman.
"Setakat hari ini, 55 peratus seluruh populasi sudah menerima suntikan lengkap dan 62.5 peratus sudah menerima suntikan pertama.
"Ia adalah perbezaan ketara namun ia adalah secara purata.
"Apa yang lebih positif adalah purata 80 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas sudah menerima vaksinasi, kerana mereka adalah golongan berisiko berbanding anak muda," katanya di Berlin pada Selasa.
Namun, jelas Merkel, ketika ini kadar vaksinasi semakin mencatatkan penurunan.
Justeru, bermula 11 Oktober, rakyat Jerman perlu membayar sendiri bagi melakukan ujian saringan COVID-19.
Keputusan tersebut turut menjadi perdebatan dalam kalangan ahli politik yang menyatakan ia bakal menjadi beban buat yang tidak berkemampuan.
Malah, ada juga yang menyatakan keputusan tersebut adalah sebagai hukuman buat individu yang enggan mendapatkan vaksin.
#ujian saringan
#bekalan vaksin
#Angela Merkel
#Jerman
#suntikan
#vaksin
#COVID-19
#bayar sendiri
#golongan berisiko