Vaksin COVID-19: J&J menunjukkan keberkesanan 94 peratus bagi dos kedua

Astro Awani
September 22, 2021 08:00 MYT
Menurut J&J, ia berbanding 70 peratus perlindungan dengan hanya satu dos. - Foto fail/REUTERS
CHICAGO: Suntikan kedua Johnson and Johnson yang diberikan kira-kira dua bulan selepas suntikan pertama mampu meningkatkan kadar keberkesanan vaksin tersebut kepada 94 peratus.
Menurut J&J, ia berbanding 70 peratus perlindungan dengan hanya satu dos.
Data tersebut dijangka membantu kelulusan sebagai suntikan penggalak dari pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat.
Presiden Joe Biden kini menggesa agar suntikan penggalak diberikan susulan peningkatan kadar kemasukan pesakit ke hospital selepas dijangkit COVID-19 akibat varian Delta.
J&J yang merupakan satu-satunya syarikat yang menghasilkan suntikan satu dos yang diluluskan penggunaannya di Amerika Syarikat, berdepan tekanan untuk membentangkan bukti lanjut hasil keberkesanan dos kedua.
Pegawai saintis J&J dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat itu kini dalam kajian teliti dalam membentangkan pelan tersebut.
J&J turut memaklumkan, suntikan penggalak yang diberi dua bulan selepas dos pertama akan meningkatkan antibodi sehingga enam kali ganda.
Namun, sekiranya ia diberi enam bulan selepas suntikan pertama, antibodi akan meningkat sehingga 12 kali ganda, berdasarkan data yang dikeluarkan bulan lalu.
Kesan sampingan hasil dua dos dapat dilihat dengan ketara dalam kajian yang dilakukan.
Bagaimanapun kajian ini masih belum dibuat semula dan ia dijangka diterbitkan beberapa bulan akan datang.
Untuk rekod, hanya syarikat Pfizer-BioNTech sudah melengkapkan data kepada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat bagi suntikan penggalak susulan tarikh akhir yang ditetapkan pentadbiran Biden pada 20 September lalu.
#COVID-19 #vaksin #keberkesanan #dos penggalak
;