Vaksin COVID-19: FDA beri kebenaran dos penggalak Pfizer untuk golongan rentan

Hafizi Rosli
September 23, 2021 08:58 MYT
FDA benarkan penggunaan dos penggalak vaksin Pfizer bagi golongan berusia 65 tahun ke atas dan berisiko tinggi. -AP
SILVER SPRING: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) memberi kebenaran penggunaan dos penggalak vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech.
Namun pemberian vaksin itu khusus bagi warga emas berusia 65 ke atas dan juga mereka yang berisiko tinggi mendapat jangkitan, termasuk mempunya penyakit kronik serta pekerja di sektor berisiko.
Dos penggalak itu akan diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas melengkapkan dos kedua vaksin.
Panel penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dijangka mengundi untuk beri kebenaran penggunaan dos penggalak pada Khamis.
Presiden Joe Biden mengumumkan pada Ogos di mana kerajaan merancang menggerakkan kempen dos penggalak untuk individu berusia 16 tahun dan ke atas minggu ini.
Namun ia masih menunggu kebenaran daripada FDA dan CDC kerana tiada bukti kukuh menunjukkan keperluan dos penggalak itu.
FDA setakat ini hanya membenarkan penggunaannya bagi individu rentan dan menolak permohonan penggunaan secara meluas.
Satu lagi pengeluar vaksin, Johnson & Johnson pula dilaporkan berkata suntikan kedua vaksin COVID-19 dapat meningkatkan keberkesanannya terhadap simptom sederhana dan teruk.
Data daripada vaksin vaksin Moderna pula masih dirangka.
Beberapa negara termasuk Israel, dan United Kingdom melancarkan kempen dos penggalak.
AS pula sudah memberi suntikan dos penggalak kepada individu yang mempunya masalah imun dan lebih 2 juta orang sudah menerima suntikan ketiga itu.
#COVID-19 #Pfizer-BioNTech #Amerika Syarikat #dos penggalak
;