Vaksin COVID-19: EU saran sijil digital diberi tanpa diskriminasi
Astro Awani
Mac 17, 2021 07:20 MYT
Mac 17, 2021 07:20 MYT
KESATUAN Eropah (EU) menyarankan sijil digital vaksin yang akan diperkenal bagi membuka semula sektor pelancongan, diberi kepada semua warganya tanpa diskiriminasi.
Ini bagi memenuhi sasaran untuk membenarkan mereka yang sudah divaksin melakukan perjalanan dalam blok tersebut, kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Menurutnya, 27 anggota EU tersebut akan menentukan kaedah penggunaan sijil digital berkenaan.
"Apakah fungsi sijil ini? Ia akan menunjukkan sama ada individu sudah divaksin, atau ujiannya negatif atau sudah pulih dan mempunyai antibodi.
"Kedua, sijil ini akan memastikan keputusannya, atau apa juga data yang terkandung di dalamnya, diiktiraf oleh setiap negara anggota.
"Ketiga, dengan sijil digital ini, kita menyasarkan untuk membantu setiap negara anggota mendapat semula kebebasann perjalanan dalam bentuk yang selamat, bertanggungjawab dan dipercayai," katanya pada sidang media di Brussels pada Rabu.
Terdahulu, badan eksekutif EU itu mengemukakan cadangan bagi membolehkan warganegara dan penduduk Eropah - sama ada diberi vaksin atau tidak - bebas melancong di mana-mana 27 negara anggota pada musim panas akan datang.
Rancangan itu, yang akan dibincangkan pada sidang kemuncak pemimpin EU minggu depan, bakal menyaksikan sijil vaksin direka dengan tujuan untuk memudahkan perjalanan dari satu negara anggota ke negara lain.
Sebelum ini, pengenalan sijil vaksin atau dikenali sebagai pasport vaksin, mendapat tentangan beberapa negara Eropah susulan kebimbangan berhubung timbulnya diskriminasi.
Ia merujuk kepada hanya golongan minoriti dibenarkan melancong tanpa sebarang sekatan manakala sebahagian besar masih berdepan sekatan termasuk dikuarantin.
Garis panduan dan syarat bagi pasport vaksin dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memaklumkan akan mewujudkan rangka kerja antarabangsa bagi perjalanan antarabangsa.
Namun, ia menolak vaksin sebagai salah satu syaratnya.
#COVID-19
#Kesatuan Eropah
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#sektor pelancongan
#vaksin
#pelancongan
#WHO
#EU
#sijil digital
#Ursula von der Leyen
#Suruhanjaya Eropah
#antibodi
#musim panas
#sijil vaksin
#perjalanan
#diskriminasi
#sekatan
#pasport vaksin
#minoriti