Vaksin COVID-19: Dos ketiga boleh datangkan kesan sampingan lebih buruk - CDC AS

Astro Awani
Julai 15, 2021 08:51 MYT
Dos kedua telah dikaitkan dengan kadar kesan sampingan lebih tinggi, menunjukkan dos ketiga juga berpotensi membawa risiko kesan sampingan lebih besar. - Gambar hiasan
AMERIKA Syarikat (AS) sedang mengkaji keperluan dos tambahan vaksin COVID-19 dalam kalangan penduduk yang telah menerima dua dos lengkap.
Timbalan Pengarah Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, Jay Butler bagaimanapun berkata, lebih banyak data diperlukan untuk mengetahui sama ada dos tambahan boleh meningkatkan risiko kesan sampingan.
"Kami sangat berminat untuk mengetahui sama ada dos ketiga mungkin dikaitkan dengan risiko tindak balas buruk yang lebih tinggi, terutamanya beberapa kesan sampingan yang lebih teruk - walaupun sangat jarang berlaku," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Katanya, dos kedua vaksin COVID-19 telah dikaitkan dengan kadar kesan sampingan lebih tinggi.
Ini menunjukkan, dos ketiga juga berpotensi membawa risiko kesan sampingan lebih besar.
Kerajaan AS belum membuat keputusan sama ada akan memberikan suntikan dos ketiga, terutama dalam kalangan warga emas dan kumpulan berisiko tinggi.
Pfizer-BioNTech merancang meminta Pentadbiran Makanan Dan Ubat-ubatan (FDA) meluluskan penggunaan dos ketiga berdasarkan bukti peningkatan jangkitan enam bulan selepas diinokulasi dan penularan varian Delta.
Butler menyatakan, dia belum melihat bukti penurunan imuniti terhadap COVID-19 di kalangan penduduk Amerika yang mendapat suntikan pada bulan Disember atau Januari.
Katanya, rejimen dua dos sedia ada memberikan perlindungan yang signifikan terhadap varian Delta yang pertama kali dikesan di India dan kini jadi dominan di Amerika itu.
#Amerika Syarikat #dos tambahan #suntikan #jangkitan #vaksin #COVID-19 #warga emas #dos ketiga #BioNTech #Pfizer-BioNTech #kesan sampingan #CDC #Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit #dos kedua
;