Vaksin COVID-19: Biden umum aturan baharu terhadap penjawat awam
Astro Awani
Julai 29, 2021 06:40 MYT
Julai 29, 2021 06:40 MYT
PRESIDEN Joe Biden mengumumkan peraturan baharu terhadap penjawat awam dan kontraktor selepas Amerika Syarikat terus mencatatkan peningkatan kes dan kadar kematian terutamanya dalam kalangan mereka yang belum menerima vaksin.
Di bawah peraturan baharu itu, penjawat awam perlu membuktikan mereka sudah divaksinasi, dan jika belum, mereka wajib melakukan beberapa perkara termasuk mengenakan pelitup muka dan menjalani ujian saringan setiap minggu.
Jelas Biden, peraturan baharu lebih ketat itu adalah bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan petugas pentadbiran awam meningkat dan dijadikan sebagai teladan kepada syarikat swasta.
"Dan dengan keputusan saya ini, semua petugas sektor awam dan pelawat bangunan awam perlu melakukan langkah sama.
"Seperti yang saya katakan sejak awal, penggunaan pelitup muka bukanlah kenyataan politik, ia adalah untuk melindungi diri dan orang lain.
"Menggunakan pelitup muka adalah langkah perlindungan diri seseorang dalam mengekang penularan COVID-19.
"Tetapi jangan silap, vaksin adalah langkah terbaik bagi memastikan diri anda tidak mengalami simptom kronik akibat COVID-19, ia perisai terbaik.
"Dan anda tahu bagaimana kita boleh mengalahkan virus ini? Kita perlu pastikan lebih ramai divaksinasi," katanya pada Khamis di Washington DC.
Bagaimanapun, arahan mengambil vaksin tidak diwajibkan terhadap penjawat awam di Amerika Syarikat.
Namun, pentadbiran Biden akan memastikan mereka yang tidak menerima vaksin berdepan beberapa peraturan dan sekatan.
Ia pada masa sama dijangka akan meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan mereka yang belum menerima suntikan.
#COVID-19
#peraturan baharu
#Joe Biden
#Amerika Syarikat
#pelitup muka
#suntikan
#ujian saringan
#vaksin
#Washington