Vaksin COVID-19: Bank Dunia peruntuk ASD2 bilion untuk 40 negara

Astro Awani
April 9, 2021 07:40 MYT
Bangunan The World Bank di Washington, 5 Apr, 2021. (Foto AP)
KUMPULAN Bank Dunia komited memperuntukkan ASD2 bilion pada penghujung April untuk membiayai vaksin COVID-19 di 40 negara membangun.
Menurut Pengarah Urusan Operasi Bank Dunia Axel van Trotsenburg pada Jumaat, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan ASD12 bilion yang disediakan oleh bank itu untuk pembangunan, pengedaran dan pengeluaran vaksin di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurutnya, dana berkenaan dijangka meningkat kepada ASD4 bilion di 50 negara menjelang pertengahan tahun ini.
Jelasnya, usaha membendung COVID-19 dengan penggunaan vaksin akan dapat dipercepatkan melihat kepada kepantasan program vaksinasi dijalankan di sesebuah negara.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus sebelum ini berkata, vaksin tidak akan berkesan sekiranya virus itu terus bermutasi dengan varian baharu dan tersebar luas.
Beliau turut memaklumkan, seluruh dunia bersatu dalam pengagihan vaksin terutama kepada negara berpendapatan rendah.
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO #program vaksinasi #COVID-19 #vaksin #varian baharu #kesihatan #bank #Axel van Trotsenburg #Kumpulan Bank Dunia #Bank Dunia #peruntukan #negara berpendapatan rendah
;