Vaksin COVID-19: Australia beri dos penggalak kepada individu 18 tahun ke atas

Astro Awani
Oktober 27, 2021 09:45 MYT
Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata, program suntikan dos penggalak untuk seluruh penduduk akan bermula selewat-lewatnya 8 November. - Foto REUTERS
CANBERRA: Australia mula membenarkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk mereka berusia lebih 18 tahun.
Manakala dos ketiga dijangka ditawarkan kepada seluruh penduduk bermula bulan depan.
Pihak Berkuasa Kawal Selia Pentadbiran Barangan Terapeutik berkata, mereka sudah memberikan kelulusan sementara untuk satu dos vaksin Pfizer-BioNTech diberikan sebagai suntikan penggalak kepada orang dewasa.
Ini bermakna indvidu berusia 18 tahun ke atas boleh menerima suntikan penggalak sekurang-kurangnya enam bulan selepas selesai siri utama vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata, program suntikan dos penggalak untuk seluruh penduduk akan bermula selewat-lewatnya 8 November, tertakluk kepada kelulusan daripada Badan Penasihat Imunisasi Negara.
Menurutnya, warga emas dan penduduk kurang upaya akan diberikan keutamaan menerusi fasa tersebut.
Hunt berkata dos penggalak akan tersedia kepada sesiapa sahaja yang menerima dua dos sama ada vaksin Pfizer-BioNTech, AstraZeneca atau Moderna.
Australia setakat ini memberikan dua dos vaksin kepada 74 peratus penduduknya berusia lebih 16 tahun.
87 peratus daripada penduduknya pula menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Suntikan penggalak sudah diberikan kepada mereka yang mengalami gangguan imun yang teruk pada awal Oktober.
Kerajaan berkata mereka menjangka Moderna juga akan memohon kepada Pengawal Selia Perubatan Australia untuk kelulusan suntikan penggalak.
#COVID-19 #vaksin #Pfizer-BioNTech #Moderna
;