Vaksin COVID-19: 9 juta warga UK tidak ambil dos penggalak

Astro Awani
Januari 5, 2022 00:18 MYT
Setakat ini, 34 juta orang sudah menerima dos penggalak COVID-19 itu. - Foto fail/REUTERS
LONDON: Sejumlah 9 juta warga United Kingdom yang layak menerima dos penggalak, masih belum mengambil suntikan ketiga itu.
Perkara itu didedahkan Perdana Menteri, Boris Johnson ketika beliau memuji program dos penggalak di negara itu yang dilihat antara ke hadapan berbanding negara lain di Eropah.
Jelas Johnson, setakat ini, 34 juta orang sudah menerima dos penggalak COVID-19 itu.
"Masih terdapat hampir 9 juta orang yang layak masih belum mendapatkan suntikan dos itu. Ini merupakan satu perkara yang mengejutkan.
"Sebanyak 90% daripada mereka yang berada dalam rawatan rapi dengan COVID-19 tidak mendapat dos penggalak mereka dan lebih 60% daripada mereka yang berada dalam rawatan rapi dengan COVID-19 tidak mempunyai sebarang vaksinasi sama sekali.
"Ramai juga dilaporkan menjadi korban kerana tidak mengambil sebarang suntikan," katanya.
Selain itu jelas Johnson, beberapa negara telah mengetatkan sekatan COVID-19 di mana individu yang telah terima dos penggalak barulah dianggap sebagai lengkap divaksin.
Bercakap pada taklimat tindak balas COVID-19, Johnson juga berkata negara itu tidak akan mengenakan sekatan baharu namun keadaan dan kadar jangkitan akan terus dipantau dengan teliti.
#COVID-19 #Boris Johnson #dos penggalak #vaksin