Vaksin AstraZeneca tidak wajar diberi kepada warga emas lebih 65 tahun - RKI
Astro Awani
Januari 29, 2021 09:57 MYT
Januari 29, 2021 09:57 MYT
BERLIN : Suruhanjaya Vaksin Jerman mengesyorkan agar vaksin yang dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford tidak sepatutnya diberikan kepada warga emas berusia lebih 65 tahun.
Menteri Dalam Negeri Jerman dalam satu kenyataan berkata ia berikutan Jawatankuasa Khas Vaksinasi Robert Koch Institute (RKI) Jerman mendapati setakat ini tiada data yang menunjukkan keberkesanan vaksin itu terhadap kumpulan umur berkenaan.
"Adalah mustahil untuk membuat kenyataan mengenai keberkesanan vaksin AstraZeneca dalam kalangan mereka yang berusia lebih 65 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Ketika ini, United Kingdom yang sebelum ini meluluskan vaksin Oxford/AstraZeneca sejak sebulan lalu sedang memberikan dos vaksin kepada mereka yang berusia lebih 65 tahun.
Jerman membuat keputusan itu ketika perselisihan yang berlaku di antara Kesatuan Eropah (EU) dan AstraZeneca mengenai kelewatan penghantaran vaksin koronavirus ke blok itu.
AstraZeneca sebelum ini berkata pihaknya tidak mampu menghantar jumlah yang diinginkan EU, sekali gus mewujudkan cabaran penghasilannya.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Eropah yang menjadi wakil pembeli kepada anggota EU tidak dapat menerima alasan diberikan AstraZeneca dan syarikat farmaseutikal itu perlu mencari jalan untuk meningkatkan hasil pengeluaran vaksin.
Setakat ini, EU telah menempah 300 juta dos vaksin AstraZeneca untuk diluluskan penggunaannya oleh Agensi Perubatan Eropah seawal Jumaat.
Malah, blok itu bercadang membuat pembelian tambahan vaksin sebanyak 100 juta dos lagi.
Pihak berkuasa Belgium dalam pada itu berjanji akan menyelesaikan isu penghantaran vaksin yang tergendala susulan masalah pengeluaran vaksin.
Hasil laporan mengenai siasatan isu berkenaan dijangka diketahui beberapa hari lagi.
#vaksin
#AstraZeneca
#warga emas
#Jerman
#RKI
#Robert Koch Institute
#Oxford
#Belgium
#Kesatuan Eropah
#EU
#koronavirus
#United Kingdom