Utusan Khas PBB Hyezer gesa gencatan senjata di Myanmar pada tahun baharu

Bernama
Disember 28, 2021 12:57 MYT
Keadaan di bandar Hpruso di negeri Kayah, Myanmar, susulan serangan pada 24 Dis lalu. (Foto AP)
NEW YORK: Semua pihak di Myanmar harus bertenang, mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik yang berlaku demi kepentingan rakyat dan mengadakan gencatan senjata Tahun Baharu di seluruh negara, kata Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar Noeleen Heyzer.
"Rakyat Myanmar sudah sangat menderita dan keadaan sosio-ekonomi dan kemanusiaan bertambah buruk dengan pandemik COVID-19. Mereka yang menyebabkan penderitaan kepada rakyatnya sendiri perlu menggantung senjata mereka dan melindungi orang ramai pada waktu yang sangat diperlukan. Masa depan anak-anak Myanmar bergantung kepada tindakan itu," kata Heyzer pada Isnin, menurut Sputnik.
Heyzer berkata kenyataannya menyamai gesaan Majlis Keselamatan PBB sebelum ini yang menggesa gencatan senjata berikutan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan keganasan yang berterusan di Negeri Kayin dan bahagian lain di Myanmar, sehingga mengakibatkan ratusan ribu orang awam kehilangan tempat tinggal.
Utusan Khas PBB itu juga menyebut beliau menggesa semua pihak di Myanmar untuk bertindak demi kepentingan negara dan menghormati sepenuhnya kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa untuk melindungi orang awam.
BACA: Bencana kemanusiaan mungkin berlaku di negeri Kayah Myanmar - Utusan Khas PBB
BACA: Lebih 120,900 penduduk Myanmar jadi pelarian domestik sejak Februari - PBB
BACA: Pertempuran di Myanmar, ribuan penduduk lari ke Thailand
Heyzer juga merayu agar akses bantuan kemanusiaan dibenarkan untuk golongan yang sangat memerlukan termasuk mereka yang terpaksa melarikan diri daripada keganasan.
Heyzer, yang memulakan tugasnya awal bulan ini, menegaskan komitmen penuhnya untuk menyokong rakyat Myanmar dan mempromosikan keamanan serta berkata akan terus menumpukan usaha untuk menggerakkan sokongan antarabangsa yang bersepadu untuk mencapai matlamat tersebut.
-- BERNAMA
#Myanmar #PBB #gencatan senjata Tahun Baharu #Noeleen Heyzer
;