Utusan Khas PBB adakan lawatan ke Myanmar
Astro Awani
Ogos 17, 2022 08:40 MYT
Ogos 17, 2022 08:40 MYT
YANGON: Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Noeleen Heyzer memulakan lawatan ke Myanmar, lawatan pertamanya ke negara di Asia Tenggara itu sejak dilantik pada Oktober tahun lalu.
Beliau tiba di Yangon sehari selepas mahkamah junta tentera menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi atas tuduhan rasuah.
Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, lawatan Noeleen Heyzer itu susulan gesaan Majlis Keselamatan PBB supaya sebarang bentuk keganasan dan halangan kepada akses kemanusiaan di negara berkenaan dihentikan segera.
Heyzer akan memberi tumpuan kepada usaha menangani keadaan yang semakin membimbangkan serta keutamaan lain dalam bidang kuasanya.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan sama ada Heyzer akan bertemu dengan junta tentera yang memerintah negara itu sekarang atau bekas pemimpin, Suu Kyi.
Baru-baru ini tidakan Myanmar melaksanakan hukuman mati ke atas empat aktivis politik dikecam ASEAN yang mempertimbangkan cara lain untuk menangani Myanmar.
Pada Februari tahun lalu, tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa dan menyingkirkan kerajaan pimpinan Suu Kyi sebelum menangani kumpulan protes menggunakan kekerasan.
Junta kemudiannya bersetuju dengan lima usul ASEAN pada April tahun lalu bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan namun dilihat tidak bersungguh untuk melaksanakan pelan berkenaan.