Utusan khas Korea Selatan, AS bincang ancaman nuklear Korea Utara

Bernama
April 30, 2023 17:08 MYT
Kedua-dua pihak juga sepakat untuk mengukuhkan penyelarasan mengenai Pyongyang bagi menghentikan provokasi dan kembali kepada rundingan penghapusan senjata nuklear. - Gambar fail/ Reuters
SEOUL: Utusan khas Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengadakan pertemuan di Seoul bagi membincangkan kaedah kerjasama untuk menangani ancaman nuklear dan ketenteraan Korea Utara, menurut kenyataan Kementerian Luar Korea Selatan pada Ahad.
Sung Kim selaku utusan khas untuk AS mengadakan pertemuan dengan Kim Gunn pada Selasa di luar persidangan Asan Plenum 2023.
"Kedua-dua pihak berkongsi penilaian mereka tentang situasi keselamatan di Semenanjung Korea dan membincangkan tindak balas bersama terhadap ancaman nuklear Korea Utara," lapor Agensi Berita Yonhap.
Selain itu, kedua-dua pihak juga sepakat untuk mengukuhkan penyelarasan mengenai Pyongyang bagi menghentikan provokasi dan kembali kepada rundingan penghapusan senjata nuklear berdasarkan perjanjian yang dicapai di sidang kemuncak Korea Selatan-AS yang diadakan di Washington minggu lalu.
Ia merupakan rundingan ketiga selepas sesi dua hala di Seoul pada 6 April dan perbincangan melalui telefon pada 13 April.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #Korea Utara #ancaman nuklear #Amerika Syarikat
;